BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 7 November 2011

PENDIDIKAN SEBAGAI PEMANGKIN KECEMERLANGAN INSAN.


Sistem pendidikan merupakan perisian tuntutan asas manusia bermasyarakat tetapi falsafahnya berbeza-beza mengikut faktor yang bertindak dan yang membentuknya. Bagi Malaysia sendiri, faktor sejarah dan politik memainkan peranan yang penting pada zaman awal kemerdekaannya. Namun dalam jarak masa yang tidak sampai setengah abad, faktor-faktor yang melandaskan falsafah pendidikan awal sedikit demi sedikit diubah kerana mengisi dan hala tuju yang berbeza tekanannya. Menurut Zahir Zainuddin, (penyelidik bebas sains sosial), bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara.
Menurut beliau lagi, dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa modal insan cemerlang yang diidam-idamkan oleh negara kita, Malaysia tidak hanya sekadar lulus dengan cemerlang dalam aspek akademik malahan juga meliputi kecemerlangan dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
Modal insan yang cemerlang dapat dilahirkan melalui pemangkinnya iaitu pendidikan. Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi merupakan pencetus revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020. Petikan daripada Buku Rasmi Tahunan Malaysia 2006 oleh Jabatan Penerangan Malaysia menyatakan bahawa bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
Sehubungan dengan itu bagi menjayakan program pembangunan insan kerajaan Malaysia telah menetapkan beberapa aspek yang akan diberikan tumpuan dan aspek berkenaan terdiri daripada aspek pendidikan. Pendidikan ini meliputi dua perancangan iaitu, pertama, melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pelajaran, 2006-2010 untuk merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif dan bertaraf dunia; dan kedua, melaksanakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara bertujuan menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur institusi pengajian tinggi dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

0 ulasan: