BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 7 November 2011

KESENIAN KHAT


Latar Belakang
Kesenian berasal dari perkataan latin yang membawa maksud ‘kemahiran, cara atau kaedah’. Namun, secara lahiriah manusia dikatakan mempunyai kebolehan tersendiri dalam menghasilkan segala bentuk hasil tangan mereka. Mengikut Herbert Read dalam bukunya The Meaning of Art,(1959), seni merupakan usaha unuk mencipta bentuk-bentuk yang menyenangkan. Tambahnya lagi, niai-nilai indah, tidak cantik atau buruk adalah bidang yang termasuk dalam seni dan nilai keindahan dalam kehidupan manusia kadang-kadang lebih berpengaruh daripada nilai-nilai logik.
            Kesenian mencakupi banyak bidang dan perkara. Hal ini termasuklah bidang mengarang sesuatu cerita yang dikenali sebagai kesusasteraan, mendirikan bangunan atau seni bina, seni ukir, melukis, kaligrafi, seni lakon (dahulunya lebih kepada lakonan teater) dan juga seni tari. Seni ini dapat dikategorikan sebagai seni halus (fine arts) dan seni gunaan (applied arts).
Seni halus lebih memberi penekanan kepada sesuatu hasil nurkilan manusia yang menggambarkan kecantikan dan curahan perasaan, manakala seni gunaan lebih memberi maksud sesuatu yang dilakukan untuk menghasilkan bahan dan barangan yang nampak jelas serta untuk digunakan. Menurut Richardson dalam bukunya, Introducing Art,A First Book on The History and Appreciation of The Visual Arts, kesenian merupakan luahan perasaan manusia dan menggambarkan sifat serta perangai manusia.
Apabila kita meninjau akan sejarah perkembangan tamadun manusia di dunia ini, sememangnya kita tidak dapat lari daripada melihat bagaimana manusia dari segenap lapisan masyarakat di dunia ini telah melahirkan segala macam bentuk hasil seni yang indah dan mengagumkan. Apa yang lebih menarik dan unik ialah setiap tamadun itu mempunyai hasil seni mereka yang tersendiri antaranya Angkor Wat, Borobodur dan piramid-piramid.
            Pelbagai bentuk kesenian yang menarik terdapat dalam tamadun manusia antaranya kesusasteraan, muzik, seni bina, ukiran, seni lukis dan pelbagai lagi. Kita cuba lihat salah satu antaranya seperti seni kesusasteraan Melayu. Kesusasteraan Melayu bermula dengan sastera tradisional yang sememangnya kaya dengan cerita-cerita rakyat atau dikenali sebagai kesusasteraan rakyat (sastera lisan) yang diperturun dari satu generasi ke satu generasi dengan meluasnya. Kesusasteraan terawal ialah cerita asa usul yang merangkumi cerita-cerita tentang nama tempat, tumbuh-tumbuhan dan binatang. Antara cerita yang popular yang menonjolkan watak binatang sebagai watak utama adalah cerita Sang Kancil, cerita jenaka seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan si Luncai. Semua hasil kesusasteraan ini berbentuk prosa.

Selain berbentuk prosa, terdapat juga satu lagi bentuk kesusasteraan melayu yang dikenali sebagai puisi melayu tradisional. Antaranya ialah pantun, teka-teki, gurindam dan seloka. Dalam konsep tradisional ini juga dirangkumkan apa yang dikenali sebagai ‘puisi lisan’ dan ‘puisi rakyat’. Kesusasteraan Melayu dihasilkan pada keseluruhannya bertujuan untuk berhibur memandangkan masyarakat melayu pada ketika itu tidak mempunyai kemudahan teknologi seperti hari ini. Namun begitu,apa yang lebih dititikberatkan ialah setiap aspek hasil sastera yang dilahirkan bertujuan untuk memberi pengajaran, kesedaran, diselitkan dengan sindiran, nasihat dan rasa sedih serta gembira. Masyarakat melayu ketika itu mengutamakan nilai budi yang tinggi. Oleh itu, mereka berusaha agar apa jua yang ingin disampaikan tidak disampaikan secara melulu. Tujuan nasihat juga disampaikan secara simbolik dan halus sekali. Kesusasteraan melayu pada masa ini banyak dipengaruhi oleh pengaruh asing antaranya jawa, hindu dan arab. Walau bagaimanapun, pengaruh arab kekal sehingga kini.

0 ulasan: