Isnin, 7 November 2011
1) Sejarah kedatangan islam ke Asia Tenggara dan perkaitannya dengan perkembangan tulisan jawi
Kedatangan Islam ke Asia Tenggara mula di kesan pada 55 H(M.674) di Sumatera.Kemudian di Kedah (290H),Phan-Rang atau Campa (431/1039) iaitu di Negara Vietnam sekarang dan di situ terdapat batu nisan yang bertulisan Kufi (S.Q.Fatimi,1963:43-45) dan juga di Leran,Gerisek (Jawa Timur).Kedatangan Islam di kesan dengan penemuan beberapa bukti antaranya ialah batu nisan yang bertarikh 14 Rabiulawal 419 H di Pekan,Pahang.Selain itu penemuan batu-batu bersurat yang ditemui di Phan-Rang(Vietnam) serta batu nisan Puteri Sultan Abdul Majid ibnu Mohammad Syah al-Sultan yang bertarikh 440 H bersamaan dengan 1048 M di Perkuburan Islam Jalan Residency,Bandar Seri Begawan,Brunei.Walaupun daripada bukti-bukti yag ada yang mengatakan kedatangan Islam ke Asia Tenggara agak awal,tetapi agama Islam hanya baru berkembang dengan pesat pada akhir abad ke-12 hingga ke 15 M.
Kedatangan Islam membawa ajaran baru,agama baru,kehidupan baru dan kebudayaan baru kepada orang Melayu.Ajaran Islam menggantikan ajaran yang lama,unsur-unsur Hindu-Buddha dan animisme terhakis sedikit demi sedikit dan orang Melayu mula menampakkan jati dirinya tersendiri.Akhirnya Islam dengan Melayu menjadi sebati.Antara unsur Islam yang masuk ke dalam kebudayaan Melayu ialah bahasa dan tulisannya.Dalam Bahasa Melayu,terdapat banyak perkataan Arab setelah datangnya Islam sama ada dalam laras agama,pemerintahan mahupun yang lain-lain.Kata-kata Arab banyak di masukkan dalam bahasa Melayu sama ada dikekalkan sebutan dan ejaannya mahupun yang diserap dan disesuaikan lafaz serta ejaannya.Antara contoh kata-kata yang dikekalkan ialah Allah,malaikat,nabi,rasul,kalam dan banyak lagi.
Penggunaan tulisan pengaruh India atau rencong tidak lagi digunakan.Maka tulisan Arab telah mula di praktikkan dan digunakan dalam bahasa Melayu.Dengan menggunakan tulisan yang baru ini,maka hasil-hasil karya tulisan Melayu menjadi lebih produktif terutama pada zaman kegemilangan bahasa Melayu klasik sekitar tahun 1750 M.Secara tidak langsung tulisan Arab telah menjadi alat dan wahana penyebaran ilmu,agama Islam,pengembangan bahasa dan peninggian kebudayaan Melayu.Tulisan Melayu huruf Arab atau lebih dikenali sebagai tulisan Jawi telah digunakan sejak kedatangan Islam.Maka jelas disini bahawa tulisan Jawi itu datang bersama agama Islam.Nama ‘Jawi’ berasal daripada kata nama bahasa Arab ‘Jawah’.Apabila dijadikan kata adjektif ‘Jawah’ menjadi ‘Jawi’.Perkataan ‘Jawah’ atau ‘Jawi’ ini berkemungkinan besar berasal daripada perkataan ‘Javadwipa’ iaitu nama bagi daerah Asia Tenggara pada zaman purba.Bagi orang Arab bahagian kata ‘Java’ sahaja yang diambil manakala ‘dwipa’ ditinggalkan.Kata ‘Java’ ini digunakan untuk merujuk ke seluruh daerah Asia Tenggara,penduduknya juga dinamakan dengan menggunakan kata itu juga atau dalam erti kata lain ‘Jawi’.Oleh itu,kata Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara bukan hanya kepada orang jawa sahaja.
Istilah ‘tulisan Jawi ‘hanya dikenal di Malaysia,Singapura,Brunei dan Selatan Thailand.Manakala di Indonesia tulisan ini terkenal dengan nama ‘tulisan Melayu huruf Arab’ atau ‘tulisan Melayu Arab’.Malahan perkembangan tulisan Jawi itu sendiri selaras dengan penyebaran Islam yang merata ke seluruh Asia Tenggara.Antara contoh yang dapat diberikan adalah tulisan Jawi digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren di Jawa.Contohnya kitab Primbon Jawa,Mujarabat Bahasa Jawa,Layang Anbia’,Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa.Selain itu,tulisan Jawi turut digunakan dalam pentarikhan untuk takwim (kalendar) bagi orang-orang Campa.Di Patani,Selatan Thailand,tulisan Jawi digunakan untuk semua jenis persuratan serta kitab-kitab agama.Kitab-kitab agama ini masih digunakan bukan sahaja di Patani malahan di Malaysia,Singapura,Brunei dan Indonesia.Antara contoh kitabnya adalah Matla’al-Badraiyn dan Furu’Masa’il yang amat terkenal terutama di sekolah-sekolah agama tradisional dan pondok.Di daerah Minangkabau,Bengkulu,Riau,Jambi dan Palembang yang merupakan daerah Melayu tulisan Jawi tidak menjadi perkara asing bagi mereka bahkan tulisan inilah yang digunakan oleh mereka terutama di kalangan orang-orang tua untuk menulis hal-hal tentang adat-istiadat,perbilangan,peribahasa,cerita rakyat,kitab-kitab agama dan lain-lain.
Maka jelaslah bahawa kedatangan Islam saling bersangkutan dengan tulisan Jawi itu sendiri.Tulisan Jawi datang bersama Islam,tersebarnya pengaruh Islam ke seluruh pelusuk telah membawa pada perkembangan tulisan Jawi yang mana tulisan Jawi telah digunakan dalam pelbagai bidang,hal serta tempat.Dengan ini kita ketahui bahawa tulisan Jawi berkembang dengan jayanya.
Dicatat oleh WakMaman di 6:52 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan