Isnin, 7 November 2011
Artikel Surat Pembaca : Berita Harian 4 November 2011
PERBAYU SOKONG USAHA BELA MARTABAT BAHASA MELAYU
Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Universiti Pendidikan Sultan Idris amat kesal dengan ‘ ugutan’ terhadap Kementerian dan Menteri Pelajaran oleh Persatuan Ibu bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) berkaitan pemansuhan Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). PERBAYU menyokong penuh tindakan PLM yang menentang penggunaan bahasa Inggeris dalam PPSMI dan menyokong tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kerana memansuhkan PPSMI.
Oleh hal yang demikian, PERBAYU merakamkan ucapan terima kasih kepada Timbalam Perdana Menteri kerana mengambil langkah memansuhkan PPSMI sekaligus mengangkat kembali martabat Bahasa Melayu. Memetik kata-kata Tan Sri Ainuddin Wahid, bahawa “Pelaksanaan PPSMI ibarat seorang doktor yang tersalah memberi ubat kepada pesakit, sehingga pesakit akhirnya semakin teruk sakitnya”. Beliau secara jelas membuat kesimpulan bahawa penerusan PPSMI ini akan menjadi punca Bahasa Melayu akan berkubur dan akan menjadi bahan pameran di muzium.
Kita tidak boleh mempertahankan bahasa Melayu hanya dengan menguasai bahasa itu, tetapi memerlukan penghayatan dan penghormatan berterusan terhadap bahasa itu sendiri. Sebagai contohnya negara Jepun, Perancis, dan China masih mampu maju dan megah melalui bahasa Ibunda. Kita lebih memikirkan untuk menguasai bahasa Inggeris dari memikirkan mengapa bahasa Melayu tidak menjadi seperti bahasa Inggeris? Kita perlu mencari jalan dalam menambah nilai bahasa di pasaran dunia melalui pendidikan.
Akhir kata PERBAYU dengan tegas menentang sebarang usaha untuk mengembalikan dasar PPSMI dan kerajaan perlu tegas dalam mengambil tindakan agar pendidikan negara tidak menjadi kucar-kacir. Hakikatnya penguasaan sesuatu bahasa lebih penting sebelum penguasaan sesuatu ilmu. Bahasa sendi tamadun bangsa.
Mohd Raziman bin Abd Rahman
Persiden Persatuan Bahasa Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dicatat oleh WakMaman di 6:05 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan